TEHRAN, 25 OKT – Pihak berkuasa Iran telah melarang belasan pelakon wanita daripada bekerja kerana gagal mematuhi etika berpakaian ketat di negara itu termasuk diwajibkan memakai tudung, kata seorang pegawai hari ini.
“Mereka yang tidak mengikut undang-undang, tidak akan dibenarkan bekerja,” kata Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam Iran, Mohammad Mehdi Esmaili kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet.
Kelmarin, media Iran melaporkan bahawa 12 orang pelakon yang didapati melanggar hukum hijab, antaranya Taraneh Alidoosti, Katayoun Riahi dan Fatemeh Motamed-Aria, ‘tidak akan dibenarkan memainkan watak dalam filem’.
Alidoosti dan Riahi adalah antara tokoh awam yang ditahan seketika semasa protes meluas tahun lalu.
Sejak protes besar-besaran tahun lalu, wanita semakin melanggar etika berpakaian yang memerlukan penutup kepala dan berpakaian sederhana.
Menutup leher dan kepala adalah wajib bagi wanita sejak 1983, berikutan revolusi Islam Iran 1979.
Iran telah meningkatkan langkah sejak beberapa bulan lalu terhadap wanita dan perniagaan yang melanggar peraturan hijab.
Pada bulan September, penggubal undang-undang mengundi menyokong hukuman yang lebih keras, termasuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, bagi wanita yang melanggar kod pakaian.- AFP