SYDNEY, 25 OKT – Microsoft semalam mengumumkan pelaburan bernilai Aus$5 bilion (AS$3.2 bilion) di Australia bertumpu pada pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI), dengan mengatakan ia akan meningkatkan ekonomi dan pertahanan siber negara itu.
Butiran perjanjian itu digariskan oleh bos di firma gergasi teknologi AS dan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Amerika Syarikat (AS).
Ia mewakili pelaburan terbesar Microsoft di Australia dalam sejarah 40 tahunnya di negara itu, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Microsoft akan mengembangkan pengkomputeran awan ‘hiperskala’ dan infrastruktur AI di Australia dalam tempoh dua tahun akan datang, menambah sembilan pusat data kepada 20 yang sudah ada di Canberra, Sydney dan Melbourne, katanya.
Gergasi teknologi itu berkata ia juga akan bekerjasama dengan agensi pengintip siber Australia, Australian Signals Directorate, dalam ‘perisai siber’ untuk melindungi negara daripada ancaman.
Anthony Albanese mengalu-alukan pelaburan itu semasa sidang akhbar di kedutaan Australia di Washington.
Perkongsian Microsoft dengan Signals Directorate akan meningkatkan kapasiti Australia untuk mengenal pasti, mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman siber, katanya.
Terdapat 76,000 jenayah siber dilaporkan kepada Pusat Keselamatan Siber Australia tahun lepas, walaupun pakar memberi amaran lebih banyak lagi yang tidak dilaporkan. – AFP