Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

20 dilantik Pemimpin kempen kelestarian

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – 20 pelajar dari 10 buah sekolah telah dicalonkan sebagai presiden dan naib presiden untuk sekolah masing-masing pada majlis Green Day Warrior Council Installation, yang berlangsung di Rimba Garden Central (RGC), Rimba, baru-baru ini.

Green Day Warrior Council adalah kelab komuniti sekolah yang ditubuhkan untuk mengembangkan pengetahuan pelajar tentang perubahan iklim dan inisiatif kelestarian yang mana program berkenaan dikendalikan oleh Curious Mind dan disokong oleh Kolej Perdagangan dan Teknologi Kosmopolitan.

Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Hajah Marina Chek binti Bujang yang seterusnya menyampaikan sijil pengiktirafan kepada wakil pelajar.

Program berkenaan telah dihadiri kira-kira 100 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 dari setiap sekolah yang mengambil bahagian.

Ia bermatlamat memainkan peranan kepimpinan untuk menyebarkan kesedaran perubahan iklim kepada pelajar junior di sekolah masing-masing, mendidik ahli keluarga serta membawa perubahan positif dalam komuniti.

Sepuluh buah sekolah yang terpilih adalah Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Rimba I, dan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Hajah Marina Chek hadir pada sesi perbincangan yang diadakan di Rimba Garden Central (RGC), Rimba, baru-baru ini. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Antara pelajar yang hadir pada sesi tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya