Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

32 pelajar PB sertai Program HAPPY

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Golongan belia terus diberikan maklumat dan kesedaran mengenai HIV menerusi usaha yang dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Sehubungan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) di Kampus Utama Politeknik Brunei (PB), hari ini, yang dihadiri kira-kira 32 orang pelajar.

Program berkenaan merupakan projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia.

Ceramah disampaikan oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dengan aktiviti-aktiviti dikendalikan bersama ahli-ahli pasukan HAPPY.

Dayang Siti Kailene mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.

Beliau turut menyatakan bahawa angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam pelbagai tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.

Program itu merupakan program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan disesuaikan kepada situasi tempatan.

BDAIDS Council berharap supaya para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka serta untuk dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.

Antara pelajar PB yang mengambil bahagian dalam Program HAPPY yang berlangsung di PB, kelmarin. – Gambar serahan BDAIDS Council