Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

43 ikuti Program Literasi Penerangan

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seramai 43 belia dari Persatuan Belia Minda dan belia-belia Daerah Belait telah mengikuti Program Literasi Penerangan selama dua hari yang berakhir kelmarin dengan majlis penyampaian sijil.

Hadir menyampaikan sijil kepada peserta pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini, pegawai-pegawai kanan dan para pegawai Jabatan Penerangan.

Dalam program tersebut, peserta telah mendengar taklimat bertajuk Mengukuhmantapkan Akidah Golongan Belia yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.

Beliau antara lain menyentuh mengenai Islam dalam konteks Negara Brunei Darussalam dari segi kepercayaan dan pengamalan berasaskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Selain itu, peserta juga didedahkan mengenai isu-isu semasa yang membawa kepada penyelewengan dari aspek akidah, syariah mahupun akhlak.

Di samping itu, peserta program juga berpeluang mendengarkan taklimat bertajuk ‘Indahnya Bahasa Isyarat’ yang disampaikan oleh Penasihat Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) Kebangsaan dan Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH), Dr Hajah Norbayah binti Haji Shahminan. Peserta turut diberikan pendedahan belajar bahasa isyarat bersama Persatuan OKP.

Mereka turut mendengarkan taklimat mengenai Perkembangan Gerakan Sukarelawan di Negara Brunei Darussalam oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Dr Mohd Nuriskandar bin Mohd Hasnan yang telah menyentuh mengenai kerja dan prinsip sebagai sukarelawan yang secara tidak langsung turut dapat mengeratkan silaturahim, membantu masyarakat, berkongsi pengalaman dan ilmu.

Peserta juga berkesempatan mengadakan lawatan ke Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan sebagai nilai tambah kepada platform penyebaran maklumat yang sedia ada sejajar dengan objektif asal penubuhan Jabatan Penerangan pada 1 April 1952 dan melawat ke Bahagian Pelita Brunei.

Dayang Siti Bismi Nuruliman menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
Peserta melawat Galeri Lentera Makmur semasa program tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan