KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Selepas melalui episod duka di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, atlet menembak Malaysia, Alia Sazana Azahari kini mempunyai misi penting untuk membalas dendam di Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan membuka tirai pada 23 September ini.
Atlet berusia 31 tahun itu berkata pada edisi 2018, beliau yang merekodkan 579 mata terpaksa akur apabila dipisahkan satu mata dengan Kwak Junghye dari Korea Selatan yang mencatat 580 mata untuk menempah tiket final acara 25 meter (m) pistol wanita pada temasya empat tahun sekali itu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 yang akan membuat penampilan kali ketiga pada pentas berprestij itu bagaimanapun berkata beliau kini berada di landasan tepat untuk menunjukkan taring sebenar di bawah kendalian Mohamad Firdaus Abdul Rahim yang mula mengemudi skuad menembak pada 2020.
“Saya di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan lima tahun lalu, jadi mereka memang terbaik dan saya sudah buat yang terbaik namun tidak cukup baik untuk berada di final. Jadi saya akan gunakan memori (Sukan Asia 2018) sebagai motivasi untuk berjuang sehingga tembakan terakhir.
“Minggu hadapan saya akan masuk Kejohanan Kebangsaan tetapi tidak akan masuk acara kegemaran sebaliknya hanya untuk mendapatkan perasaan pertandingan. Kami (bersama jurulatih) juga tidak buat sebarang perubahan drastik sebaliknya hanya touch up kepada kemahiran sedia ada,” katanya.
Alia Sazana berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sasaran peribadi apabila menjangkakan bakal mendapat tentangan sengit daripada negara Asia lain yang dilihat mempunyai kekuatan sendiri.
“Saya tahu bahawa penembak Asia sangat hebat, tahap mereka tinggi tetapi mereka tetap manusia biasa dan sebarang kemungkinan yang tidak dijangka boleh berlaku semasa pertandingan,” katanya.
Sukan Asia Hangzhou 2022 akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober ini. – Bernama