PARIS, 25 SEPT – Amazon berkata hari ini bahawa mereka akan melabur sehingga AS$4 bilion dalam syarikat Anthropic AI, ketika syarikat besar runcit dalam talian itu menyertai perlumbaan AI yang didominasi oleh Microsoft, Google dan OpenAI.
Kejayaan ChatGPT OpenAI, sebuah chatbot yang dikeluarkan tahun lalu yang mampu menghasilkan puisi, esei dan karya-karya lain hanya dengan panduan ringkas, telah menyebabkan berbilion-bilion pelaburan di dalam bidang itu.
Amazon sebelum itu telah mengumumkan hasrat mereka untuk meningkatkan pembantu suara Alexanya dengan AI generatif, yang kata syarikat itu akan membolehkan pengguna berbual dengan lebih lancar.
Anthropic, yang berpusat di San Francisco, dianggap sebagai peneraju dalam bidang itu dan mempunyai chatbot sendiri, Claude, yang menjadi pesaing kepada ChatGPT.
“Kami sangat menghormati pasukan dan model asas Anthropic dan kami percaya dapat membantu meningkatkan banyak pengalaman pelanggan, jangka pendek dan jangka panjang, melalui kerjasama yang lebih mendalam,” kata Ketua Eksekutif Amazon, Andy Jassy.
Syarikat-syarikat besar dan pelabur kaya di Lembah Silikon telah melabur banyak dalam AI seiring dengan usaha mereka untuk mencari aplikasi yang membolehkan teknologi itu mekar. Kejayaan segera ChatGPT menarik perhatian kepada chatbot dan memunculkan peniru dan pesaing, terutamanya dari Google dengan chatbot Bard.
Syarikat besar China, Tencent dan Baidu juga telah melancarkan bot yang mereka dakwa boleh menyaingi ChatGPT. – AFP