Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Ambil dadah berlebihan punca kematian Angus Cloud

Kematian pelakon drama bersiri Euphoria iaitu Angus Cloud pada 31 Julai lalu disebabkan keracunan akibat pengambilan dadah berlebihan secara tidak sengaja, lapor mStar.

Punca sebenar kematian mengejut Angus itu dibuat oleh pegawai penyiasat di California, Amerika Syarikat menerusi satu laporan yang dikeluarkan dua bulan selepas pemergiannya.

Pihak berkuasa mendedahkan hasil bedah siasat mengesan kehadiran dadah jenis fentanil, metamfetamin, kokain dan beberapa ubat-ubatan terlarang di dalam sistem tubuh aktor berusia 25 tahun itu.

“Keracunan itu disebabkan gabungan metamfetamin, kokain, fentanil dan benzodiazepin yang dikesan dalam sistem tubuhnya,” kata laporan berkenaan.

Sehubungan itu, laporan sebelum ini mendakwa kematian Angus disebabkan bunuh diri adalah tidak benar malah ibunya iaitu Lisa Cloud Mclaughlin turut membantah perkara itu.

Angus didakwa memilih mengakhiri nyawanya sendiri susulan tidak dapat menerima hakikat kematian bapanya pada Jun lalu.

“Walaupun dia sangat bersedih dengan kematian bapanya tapi itu bukan penyebab dia meninggal dunia.

“Hari terakhirnya dia dalam keadaan baik malah sempat mengemas bilik dan memberitahu mahu bekerja keras bagi mendapatkan lebih wang untuk saya,” katanya. – Agensi

Peminat terkejut dengan berita kematian mengejut Angus. – mStar