Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Asia Pasifik kekal berkembang pesat

KUALA LUMPUR, 25 SEPT – Asia Pasifik kekal sebagai rantau yang paling pantas berkembang, dengan ekonomi majunya mengalami penurunan yang sederhana, iaitu pertumbuhan yang rendah tetapi kekal positif, manakala bagi ekonomi pasaran pesat membangun menuju ke arah pengembangan yang semakin rancak, kata S&P Global Ratings.

S&P berkata ia menjangkakan China akan terus membendung rangsangan makroekonominya berikutan kemerosotan yang didorong oleh sektor hartanah.

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pertumbuhan China bagi 2023 kepada 4.8 peratus daripada 5.2 peratus dan kepada 4.4 peratus daripada 4.8 peratus pada
2024.

“Bagi bahagian lain di rantau itu, daya tahan domestik telah meningkatkan sedikit unjuran kami bagi pertumbuhan 2023 kepada 3.9 peratus dan kami mengekalkan pada 4.4 peratus bagi 2024.

“Kemerosotan semula sektor hartanah telah menjejaskan pertumbuhan China. Jualan perumahan mula menurun sejak April, menjejaskan ekonomi secara langsung dan tidak langsung, daripada industri berat hingga ke perkakas rumah,” katanya.

S&P berkata, permintaan global yang perlahan telah menjejaskan eksport rantau itu dengan di Asia Pasifik, tidak termasuk China dan Vietnam (yang datanya tidak tersedia) pertumbuhan eksport sebenar tahun ke tahun perlahan daripada 5.9 peratus pada suku pertama kepada -2.5 peratus pada suku kedua.

Katanya, kemerosotan itu amat ketara dalam ekonomi pasaran pesat membangun.

Bagaimanapun, S&P berkata ekonomi domestik menunjukkan daya tahan dalam persekitaran kenaikan kadar faedah di kebanyakan ekonomi pesat membangun, apabila permintaan disokong oleh pemulihan semula trend penggunaan sekular yang memberangsangkan serta kesan yang lebih rendah daripada kadar faedah yang tinggi berbanding di negara maju. – Bernama

Gambar Freepik