Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Azerbaijan cari suspek ‘jenayah perang’

KORIDOR LACHIN, AZERBAIJAN, 26 SEPT – Pegawai sempadan Azerbaijan sedang mencari suspek yang disyaki melakukan ‘jenayah perang’ dalam kalangan ribuan pelarian yang meninggalkan kawasan pemisah di Nagorno-Karabakh ke Armenia, kata sumber kerajaan kepada AFP hari ini.

“Sebahagian tentera Armenia yang menyerahkan senjata di Karabakh akan diberikan pengampunan oleh Azerbaijan. Namun bagi mereka yang melakukan jenayah perang semasa peperangan di Karabakh, kami mahu mereka diserahkan kepada pihak kami,” kata sumber itu, menjelaskan alasan mengapa lelaki dewasa diminta untuk melihat kamera di pusat pemeriksaan sempadan terakhir.

Kebanyakan pasukan Armenia, yang majoritinya beragama Kristian, telah terlibat dalam dua peperangan Nagorno-Karabakh dengan Azerbaijan yang majoritinya beragama Islam sejak tahun 1990an yang telah meragut puluhan ribu nyawa.

Peperangan pertama khususnya menyaksikan dakwaan berlakunya pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam dan penyalahgunaan hak asasi manusia oleh kedua-dua pihak.

Pada Sabtu lalu, pasukan Azerbaijan menuntut kawalan ke atas Khojali, sebuah bandar di mana ratusan orang awam terbunuh selepas ia dirampas oleh tentera Armenia pada
1990an.

Pada minggu lepas, pihak pemisah bersetuju untuk menyerah diri selepas serangan kilat Azerbaijan akhirnya berjaya menguasai Nagorno-Karabakh.

Azerbaijan baru-baru ini juga telah membuka Koridor Lachin, satu-satunya jalan menuju dari kubu pemisah Stepanakert ke Armenia.

Pegawai berkata hari ini bahawa lebih 13,000 orang telah meninggalkan wilayah itu ke Armenia setakat ini, dengan ratusan melepasi sempadan setiap jam. – AFP

Para pelarian daripada kumpulan pertama kira-kira 30 orang dari Nagorno-Karabakh berkumpul di kem sementara selepas tiba di di wilayah Syunik, Armenia pada 24 September. – AP