Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Banjir di Daerah Tutong terus dipantau

Oleh Nurdiyanah R. –

TUTONG, 27 SEPT – Berikutan hujan lebat berterusan baru-baru ini, sebahagian kawasan di pedalaman Daerah Tutong telah dilanda banjir.

Paras air sungai yang meningkat telah melimpah ke kawasan Kampung Benutan, Kampung Rambai, Kampung Kuala Ungar, Kampung Penapar, Kampung Ukong serta di sebahagian kawasan Kampung Panchong dan Kampung Layong yang menyebabkan beberapa buah rumah dimasuki air manakala itu, beberapa batang jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa dan pacuan empat roda.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, kelmarin, pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Angkatan Bersenjata Diraja Brunel (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS), Jabatan Daerah Tutong, dan penghulu mukim dan ketua kampung yang berperanan bagi memeduli hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keadaan di tempat yang terjejas terkawal dan seterusnya memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Ke arah mencapai komitmen kesiapsiagaan berkenaan, Pos Kawalan Insiden (ICP) yang merangkumi pengerahan tindakan pelbagai agensi di bawah kawalan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong telah diaktifkan pada 23 September lalu, pukul 2:30 petang di Balai Bomba Lamunin.

Ia bertujuan untuk penyelarasan tindakan bagi menghulurkan bantuan perkhidmatan pengangkutan, pengagihan makanan, rondaan keselamatan dan pemantauan serta sebarang perkhidmatan kecemasan yang diperlukan oleh penduduk-penduduk yang terjejas.

Seperti lazimnya, pemedulian tahap kesejahteraan penduduk terjejas juga meliputi bantuan bekalan makanan kering memandangkan sebahagian penduduk menghadapi kerumitan mendapatkannya semasa keadaan banjir.

Tugas pengagihan barang-barang catuan daripada pihak JAPEM Cawangan Daerah Tutong dilaksanakan oleh DDMC Tutong yang juga dibantu oleh ahli-ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) di beberapa buah rumah di kawasan yang mengalami banjir seperti di Kampung Benutan sebanyak 44 catuan, Kampung Kuala Ungar sebanyak 64 catuan, Kampung Layong sembilan catuan dan Kampung Rambai sebanyak 14 catuan.

Pegawai JAPEM Cawangan Daerah Tutong menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di salah sebuah kampung yang dilanda banjir. – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong