Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Belia aset penting negara, jauhi dadah

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Menurut statistik tangkapan dijalankan Biro Kawalan Narkotik (BKN) tahun 2023 ini sahaja, golongan belia berumur antara 19 hingga 39 tahun menunjukkan kumpulan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Sememangnya pada usia itulah mereka diharapkan untuk mewarisi agenda pembangunan negara, bukan dengan mudah terpengaruh dan mensia-siakan zaman belia mereka dan terlibat dalam aktiviti amat merugikan negara, bangsa dan agama.”

Perkara itu ditekankan oleh Pengarah BKN, Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail dalam ucapan simposium sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2023, hari ini.

Simposium yang diadakan di salah sebuah hotel di Berakas itu dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan simposium tersebut.

Dato Paduka Mohd Zalani seterusnya menjelaskan, senario penyalahgunaan dadah haram memberikan implikasi besar kepada negara dan ini boleh menyebabkan negara akan hilang tenaga kerja yang produktif dan diperlukan untuk membina negara masa kini dan akan datang.

Antara pelajar mewakili para belia yang diundang ke simposium terbabit. – Gambar oleh Lyna Mohamad
Antara yang hadir pada simposium sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2023. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

“Ini merupakan satu fenomena yang amat membimbangkan kerana ia akan menjadi satu senario yang menakutkan kepada masa depan masyarakat dan juga negara,” tambahnya.

Belia merupakan khazanah dan aset penting bagi sesebuah negara dengan tema tahun ini ‘Belia Berwawasan Tanpa Dadah’ dengan objektif untuk membarigakan pengetahuan tentang akibat, kesan serta risiko buruk jika terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram.

Beliau menambah lagi, pembarigaan pengetahuan menerusi simposium ini disasarkan kepada golongan belia yang kurang peka terhadap isu dadah.

Beliau turut melahirkan keyakinan, ahli panel dalam simposium itu akan dapat mengongsi pengetahuan, pengalaman serta pendekatan sesuai bagi panduan masa depan dalam menangani isu berkaitan dengan tema simposium ke arah melahirkan belia berwawasan tinggi tanpa dadah.

Ahli-ahli panel terdiri pembentang dari dalam dan luar negara yang membentangkan tajuk-tajuk berkaitan dengan tema Hari Antarabangsa Dadah dan ahli panel pertama membentangkan tajuk ‘Memahami Ancaman Dadah di Kalangan Belia Masa Kini-Pengalaman AADK’ yang disampaikan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Malaysia, Sutekno bin Ahmad Belon.

Manakala pembentang kedua, Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA) dan Ahli Unit Muraqib, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

Beliau membentangkan tajuk ‘Menjauhi Dadah: Kembali Menurut Perintah Allah’, sementara pembentang ketiga dari Singapura, Muhammad Rizal bin Alias, Penolong Pengarah Kanan, Major Investigations, Central Narcotics Bureau (CNB), Singapura menyampaikan tajuk pembentangan ‘NGO’s Contribution Towards Harm Prevention Approach-Singapore Experience’.

Sementara Ketua Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datin Dr Sapora Sipon telah menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Ke arah Pemerkasaan Pemulihan Penyalahgunaan Dadah: Program Sijil Kejurulatihan Pemulihan’.

Simposium itu diharap dapat meningkatkan kesedaran khusus kepada belia dan melahirkan belia yang berwawasan tinggi tanpa dadah selain disarankan masyarakat untuk berganding bahu dalam sama-sama menangani penyalahgunaan dadah di negara ini.

Turut hadir pada simposium adalah wakil-wakil dari jabatan kerajaan, institusi pendidikan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia-belia masjid di negara ini.