Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Berkenan hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India, EAS

JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 7 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-18, yang diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta, Republik Indonesia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 di mana Baginda bertitah merakamkan ucapan tahniah kepada India selaku Pengerusi G20 pada tahun ini dan seterusnya mengucapkan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi, bagi Sidang Kemuncak G20 yang akan datang.

Menyentuh mengenai Hubungan Dialog ASEAN-India yang sudah terjalin sejak 30 tahun yang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa ia telah menghasilkan hubungan rapat di antara rakyat ASEAN dan India, serta menyumbang ke arah pertumbuhan dan pembangunan kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, Baginda menyatakan bahawa penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India pada 2022 menyediakan lebih banyak peluang untuk dimanfaatkan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan India semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 di Jakarta, Indonesia, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri Sidang Kemuncak EAS ke-18. Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto

Sementara itu, TYT Narenda Modi antara lainnya menekankan bahawa ASEAN merupakan tonggak utama dalam Act East Policy India, dan dengan itu, India menyatakan sokongan penuh kepada Pemusatan ASEAN dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-India, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN yang menyambut baik peningkatan kerjasama melalui penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India pada November lalu, dan menghargai sumbangan India terhadap seni bina serantau ASEAN.

Tuan Yang Terutama juga mengalu-alukan kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti tenaga yang dapat diperbaharui, serta usaha-usaha bagi memastikan rangkaian bekalan yang berdaya tahan dan meningkatkan kerjasama dalam keselamatan makanan.

Dalam sidang itu, para pemimpin menggalakkan usaha-usaha ke arah mengenal pasti sinergi antara Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 dan Act East Policy, dan juga kemajuan kerjasama dalam bidang ekonomi digital, kesaling-hubungan dan perdagangan dan keselamatan maritim.

Pada penghujung sidang kemuncak itu, Kenyataan Bersama Pemimpin-pemimpin ASEAN-India mengenai Pengukuhan Keselamatan Makanan dan Pemakanan dalam Tindak Balas kepada Krisis dan Kenyataan Bersama ASEAN-India mengenai Kerjasama Maritim telah diluluskan.

Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-18 di mana Baginda bertitah mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri
Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Manet; Perdana Menteri Republik China, Tuan Yang Terutama Li Qiang; dan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão ke Sidang Kemuncak Asia Timur buat julung kalinya.

Baginda seterusnya menekankan kepentingan EAS sebagai platform strategik bagi mengadakan dialog membina dan kerjasama praktikal mengenai isu-isu semasa dan berkepentingan bersama.

Justeru itu, ASEAN perlu terus menumpukan perhatian untuk memajukan inisiatif-inisiatif yang bermanfaat di tengah pergolakan geopolitik yang semakin meningkat, bagi memastikan EAS juga kekal relevan sebagai sebuah platform untuk bekerjasama.

Di samping itu, Baginda juga menitikberatkan kepentingan untuk menangani perubahan iklim, berikutan kesan teruk termasuk kehilangan nyawa yang ketara dan gangguan pertumbuhan ekonomi akibat suhu global yang semakin meningkat.

Ke arah ini, Baginda menggesa pembentukan dasar dan tindak balas inovatif untuk menangani kesan perubahan iklim, dan seterusnya mengalu-alukan sokongan dalam meningkat keupayaan Pusat bagi Perubahan Iklim ASEAN untuk melaksanakan dan menyelaras kerjasama praktikal mengenai isu iklim di rantau ini.

Pada penghujung titah, Baginda menekankan kepentingan untuk meningkatkan usaha-usaha bagi meningkatkan kesediaan serantau dalam menghadapi kecemasan kesihatan di masa akan datang.

Ini kerana kerjasama adalah diperlukan untuk mengukuhkan keupayaan sistem kesihatan di peringkat kebangsaan dan serantau, termasuk akses kepada pengeluaran dan perkongsian peralatan perubatan dan vaksin.

Presiden Republik Rakyat Bangladesh, Tuan Yang Terutama Mohammad Shahabuddin selaku Pengerusi Persatuan Negara-negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) dan Perdana Menteri Kepulauan Cook, Tuan Yang Terutama Mark Brown, selaku Pengerusi Forum Kepulauan Pasifik (PIF) mengongsikan kenyataan mereka untuk mengukuhkan seni bina serantau bagi menyokong pusat perkembangan ekonomi.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr Kao Kim Hourn turut melaporkan perkembangan perlaksanaan Pelan Tindakan Sidang Kemuncak Asia Timur, termasuk memajukan kerjasama dalam kemampanan tenaga dan kesihatan mental, serta meningkatkan kesiapsiagaan serantau bagi menghadapi kecemasan masa depan.

Para pemimpin EAS menyatakan kepentingan ASEAN memimpin pembentukan seni bina ekonomi dan keselamatan, serta memastikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau terpelihara.

Pada penghujung sidang, Kenyataan Pemimpin-pemimpin EAS mengenai mengekalkan dan mempromosikan rantau itu sebagai pusat perkembangan telah diluluskan.