Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Berkenan mengadakan lawatan tidak berjadual ke KHEU

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah menggariskan kaedah-kaedah pembelajaran termasuk cara-cara mengajar, tenaga pengajar guru dan mata-mata pelajaran yang diajar, semua itu sangat untuk dikenal pasti sebagai bersesuaian dan sempurna dilaksanakan.

“Perkara cara mengajar dan tenaga pengajar, yang kedua-duanya memerlukan khusus yang namanya psikologi, terutama bagi murid-murid atau penuntut-penuntut di bawah umur, kerana tanpa faktor psikologi, pembelajaran tidak akan dijamin sempurna,” titah Baginda Sultan.

Penekanan itu dibuat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, di Jalan Dewan Majlis, hari ini.

Sehubungan itu, Baginda bertitah bertanya jika guru-guru yang ditugaskan mengajar di sekolah-sekolah agama telah dibekalkan dengan psikologi.

Menurut Baginda Sultan, penyediaan  ilmu tersebut hanya akan dapat dengan jalan mengikuti program diploma ijazah sahaja.

“Perkara ini Beta timbulkan kerana mata-mata pelajaran Ugama bukannya mudah, nisbah bagi kanak-kanak, ia memerlukan watak guru yang pandai memainkan peranan seperti tidak terlalu keras dan bukan pula lembik. Yang makanya seorang guru itu, sangat mustahak untuk akses menguasai psikologi.

“Beta kurang selesa manakala mendengar setengah ibu-bapa bersungut anak-anak mereka tidak gembira belajar di Sekolah Ugama.

“Mengapa tidak gembira? Kerana setengah guru dikatakan sangat keras, bersikap suka memaksa, jika ini benar, nyatalah guru seperti itu telah mengabaikan faktor psikologi,” tekan KDYMM lagi.

Kebawah Duli Yang Mahal Mulia mengurniakan titah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Khamis.