PENAMPANG, 7 SEPT – Perkampungan budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, menjadi destinasi persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelima dan terakhir di Sabah hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba kira-kira 9:30 pagi, kelihatan ceria melihat sendiri budaya daripada pelbagai etnik di Sabah, malah berkenan menyertai aktiviti budaya di perkampungan itu.
Di Walai Bisaya, Kumpulan Seni Budaya Suasa, Biro Kebudayaan dan Kesenian, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah mempersembahkan lagu ‘Joget Pahang’ menggunakan alat muzik tradisional kulintangan dan gong, menarik perhatian Al-Sultan Abdullah yang bertepuk tangan seiring rentak lagu itu.
Di Rumah Tradisi Murut, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyertai aktiviti menyumpit menggunakan alat sumpitan suku kaum Murut sebelum menyaksikan demonstrasi lompatan lansaran oleh kakitangan perkampungan budaya itu.
Tunku Azizah juga berkenan menyertai demonstrasi masakan tradisi bosou ikan goreng. Bosou adalah makanan seakan-akan pekasam dan makanan ini menjadi makanan tradisi masyarakat Sabah terutamanya kaum Kadazandusun serta Murut.
Semasa lawatan itu, Seri Paduka berdua turut berkenan bersantap bersama rakyat, sebelum berangkat pada 11:15 pagi meneruskan Kembara Kenali Borneo ke Sipitang.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. – Bernama