Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

BTB Management Group anjur Kejohanan Bola Sepak Jemputan Veteran

Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sebanyak lapan buah pasukan akan berentap satu sama lain bagi merebut piala bagi Kejohanan Bola Sepak Jemputan Veteran 11 orang sepasukan anjuran BTB Management Group.

Kejohanan yang akan bermula pada 1 Oktober ini dan dijadualkan berakhir pada pertengahan bulan November tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan B.

Sehubungan itu, majlis pengundian bagi menentukan pasukan-pasukan yang mana akan dimasukkan ke dalam kumpulan A dan B telah diadakan kelmarin.

Hadir bagi menyampaikan keterangan dan peraturan perlawanan pada majlis pengundian berkenaan ialah Setiausaha Perlawanan, Haji Norazmie bin PDP Haji Abdul Razak; Ketua Sekretariat, Haji Faizan bin Haji Matusin; dan wakil pengadil dari Persatuan Pengadil Negara Brunei Darussalam, Awang Amir bin Haji Yunus.

Turut hadir pada majlis pengundian tersebut ialah para perwakilan daripada pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan tersebut.

Haji Zainol Ariffin dan perwakilan daripada pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan tersebut bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – Gambar Muiz Matdani

Menurut kenyataan yang diberikan oleh Haji Zainol Ariffin bin Haji Jumaat selaku Setiausaha Kejohanan, penganjuran kejohanan buat julung kalinya tersebut diadakan adalah bertujuan bagi memupuk dan menguatkan hubungan silaturahim melalui semangat kesukanan dalam kalangan para pemain veteran.

Beliau turut menzahirkan harapan agar kejohanan itu akan dapat memberikan impak buat pemain-pemain muda dalam mengekalkan komitmen serta disiplin bersukan bagi tempoh waktu yang panjang.

Melalui kejohanan ini, secara tidak langsung ia dapat menyatukan bekas-bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah mewakili negara suatu ketika dahulu melalui acara sukan yang diminati ramai tersebut.

Setelah pengundian dijalankan, pasukan yang tersenarai dalam Kumpulan A terdiri daripada pasukan SM FC, KPPKSK, PSJD dan pasukan ITF.

Manakala pasukan Azam FT, V.Legend, Permata Hijau dan Sahabat pula berada di Kumpulan B.