Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Bunuh rakan sekerja sebelum tembak diri sendiri

PERTH, 7 SEPT — Seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang rakan sekerja di sebuah silo gandum di Australia hari ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menembak dirinya sendiri, kata polis.

Lelaki berusia 25 tahun itu didakwa menembak seorang lelaki berusia 40an di silo tersebut di bandar Kellerberrin kira-kira jam 8:40 pagi dan kemudian melarikan diri dari kawasan itu, kata Pasukan Polis Australia Barat.

Pasukan polis mengeluarkan amaran penembak aktif untuk memaklumkan kepada orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah ketika operasi pencarian suspek bermula.

Penjenayah itu dipercayai bersenjata, memakai pakaian penyamaran dan bergerak ke utara bandar tersebut, kira-kira 200 kilometer timur Perth, ibu negeri Australia Barat, kata polis.

Seorang suspek akhirnya ditemui di padok ladang kira-kira 20 kilometer dari Kellerberrin, kata Komander Wilayah Polis Australia Barat, Rod Wilde.

Dia dibawa dengan helikopter ke hospital dengan kecederaan serius, kata Wilde.

“Polis sedang berunding. Mereka telah bercakap dengannya selama beberapa jam,” kata komander itu kepada wartawan.

Wilde berkata suspek dan mangsa yang didakwa telah bekerja bersama selama beberapa tahun.

“Jelas sekali ini adalah kesudahan yang tragis bagi semua pihak yang terlibat”, katanya. – AP

Imej yang diambil daripada video yang disediakan oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) menunjukkan lokasi Moylan Grain Silos dengan kereta polis, susulan kes tembakan di Kellerberrin, Australia Barat, Australia, kelmarin. – AP