Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Dedah ilmu biodiversiti kepada masyarakat

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sebagai usaha untuk menyebarkan dan mendedahkan ilmu pengetahuan biodiversiti kepada masyarakat, Institut bagi Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) untuk mengadakan Program Pendekatan Komuniti Biodiversity Watch.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, program rintis berkenaan telah dilancarkan di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Jabatan Perhutanan, Sungai Liang, Daerah Belait, hari ini.

Program disasarkan bagi penyertaan orang ramai khususnya mereka dalam agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi di mana program dikendalikan oleh ahli-ahli dari UBD dan Jabatan Perhutanan termasuk penyertaan daripada pegawai dan kakitangan KSSUP serta pelajar-pelajar UBD.

Biodiversity Watch mengetengahkan pendekatan Sains Warga (Citizen Science) di mana komuniti awam secara sukarela bekerjasama dengan saintis untuk memulihara alam semula jadi dan mengendalikan penyelidikan saintifik.

Saintis Warga tidak seha-rusnya perlu mempunyai latar belakang saintifik profesional tetapi harus mempunyai sikap ingin tahu dan bermotivasi untuk mengambil bahagian dalam mereka eksperimen, mengumpul data, menganalisis dapatan serta membuat penemuan saintifik baharu.

ATAS & BAWAH: Kajian biodiversiti sedang dijalankan semasa program rintis, Biodiversity Watch yang diadakan di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang, kelmarin. – Gambar serahan UBD

Sesi kuliah mengenai pakis turut dikendalikan semasa program rintis berkenaan. – Gambar serahan UBD
Para peserta dan pengendali program rintis, Biodiversity Watch, bergambar-ramai semasa pelancaran program yang berlangsung di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Jabatan Perhutanan, Sungai Liang, Daerah Belait, hari ini. – Gambar serahan UBD

Antara misi dan objektif Biodiversity Watch adalah untuk menghubungkan dan menjana penglibatan komuniti awam bagi mempromosikan peningkatan kefahaman dan kesedaran biodiversiti Negara Brunei Darussalam dan menanamkan nilai-nilai pemuliharaan alam sekitar yang sejajar dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Program itu merangkumi sesi taklimat daripada Jabatan Perhutanan yang mengetengahkan sumber dan urus tadbir hutan Brunei.

Para peserta program juga mengambil bahagian dalam kajian biodiversiti di mana ia menumpukan kepada kepelbagaian tumbuhan pakis dalam laluan hutan di Pusat Biodiversiti Hutan Tropika.

Semasa program rintis berkenaan, sebuah kuliah mengenai pakis turut disampaikan bagi para peserta program.

Biodiversity Watch dihasratkan untuk mengukuhkan hubungan, kolaborasi dan komitmen ke arah pemuliharaan biodiversiti dengan matlamat untuk memupuk hubungan dan kerjasama yang lebih kuat dalam kalangan pihak berkepentingan, memacu Negara Brunei Darussalam ke arah masa hadapan yang lebih mampan dan kepelbagaian bio.