Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Doa Kesyukuran peringati Hari Kedamaian Sedunia

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah memperingati Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2023 dengan majlis Doa Kesyukuran dan solat Fardu Asar berjemaah di Ibu Pejabat PPPBD di Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

Majlis antara lain bertujuan untuk menyambut dan meraikan Hari Kedamaian Sedunia bagi tahun ini di samping sebagai tanda kesyukuran atas limpah kurnia kemakmuran dan keamanan oleh Allah SWT kepada Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan serta mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan.

Pada majlis itu, Doa Kesyukuran telah dibacakan oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani yang turut mengimamkan solat Fardu Asar berjemaah.

Majlis turut diisi dengan bacaan Surah Yasin dan tazkirah pendek bertajuk Ibadah yang disampaikan oleh Hajah Fatimah.

Antara yang hadir ialah naib-naib yang dipertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali serta ahli persatuan yang lain.

Hari Kedamaian Sedunia disambut setiap 21 September dan tema sambutan pada tahun ini ialah Actions for Peace: Our Ambition for the #GlobalGoals untuk mendukung dan mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

Datin Paduka Hajah Zaharah dan Datin Hajah Masni semasa menyertai majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD di Anggerek Desa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
Solat Fardu Asar diimamkan oleh Hajah Fatimah. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
Gambar oleh Rokiah Mahmud