Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Dua tahun dipantau, dadah AS$8 juta berjaya dirampas

BANGKOK, 28 SEPT – Polis anti-narkotik Thailand merampas dadah bernilai lebih AS$8 juta dalam salah satu tangkapan tunggal terbesar dalam sejarah kerajaan itu, kata pegawai hari ini.

Digelar ‘Segi tiga Emas’ disebabkan pertemuan sempadan Thailand, Myanmar dan Laos yang telah lama menjadi tempat ‘panas’ untuk penyeludupan dadah, terutamanya methamphetamine, walaupun tindakan keras dilakukan berulang kali.

Pegawai menyerbu sebuah bangunan di tengah bandar Nakhon Pathom lewat malam kelmarin, menahan empat lelaki di premis itu dan membongkar simpanan terbesar.

“Ini adalah antara jumlah terbesar dadah yang pernah dirampas,” kata Ketua Polis Negara yang baru dilantik Torsak Sukwimol, sambil menambah rampasan itu bernilai kira-kira 300 juta baht (AS$8 juta).

Beliau memberitahu pemberita yang pegawai telah menemui kira-kira 15 juta pil ‘yaba’ – tablet methamphetamine yang dihasilkan dan digunakan di seluruh rantau itu.

Pegawai polis berdiri di samping bungkusan mengandungi dadah kristal semasa sidang media di Bangkok, Thailand pada 28 September. – AP

Tahun lalu polis merampas kira-kira 540 juta pil sedemikian secara keseluruhan, lebih dua kali ganda daripada yang dirampas pada 2017, menurut data dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Timbalan ketua polis yang baru dilantik berkata, tangkapan itu juga termasuk kira-kira 400 kilogram meth kristal dan hampir 450 bar heroin.

Pegawai berkata simpanan besar itu, yang dibawa merentasi sempadan utara Thailand telah disimpan sementara oleh kumpulan itu sebelum dialihkan kepada pengedar lebih kecil.

“Kami telah mengawasi mereka selama dua tahun dan berusaha mencari rumah persembunyian ini,” kata Torsak.

“Mereka menukar rumah persembunyian mereka ke sini dan kami sudah lama mencari tempat ini.” – AFP