Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Dumbledore’ meninggal dunia akibat pneumonia

Pelakon legenda, Michael Gambon dilaporkan meninggal dunia kelmarin pada usia 82 tahun.

Michael yang terkenal dengan watak Profesor Albus Dumbledore menerusi filem Harry Potter itu menghembuskan nafas di hospital disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru atau pneumonia.

Memetik dari mStar, berita pemergian mendiang disahkan oleh isteri dan anak aktor berkenaan.

“Dengan penuh dukacita kami ingin mengumumkan pemergian Sir Michael Gambon.

“Michael meninggal dunia dalam keadaan tenang di samping isterinya iaitu Anne dan anak mereka, Fergus akibat pneumonia,” kata wakil aktor itu dalam satu kenyataan kepada media.

Untuk rekod, Michael memegang peranan sebagai pengetua dalam enam daripada siri Harry Potter.

Michael dilahirkan di Ireland memulakan kerjaya seninya pada 1960-an melalui pementasan teater dan merupakan anggota rasmi Royal National Theatre bersama Laurence Olivier.

Mendiang juga sebelum ini pernah memainkan peranan sebagai detektif Perancis, Jules Maigret dalam siri ITV iaitu Maigret termasuk berberapa drama terbitan BBC seperti The Singing Detective pada 1986.

Sepanjang karier lakonannya yang mencecah enam dekad, Michael pernah memenangi empat anugerah di The British Academy Film Awards (BAFTA) dan Anugerah Olivier. – Agensi

Michael Gambon meninggal disebabkan radang paru-paru. – mStar