Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Empat mualaf terima bantuan

Oleh Ak Zaki Kasharan – 

TUTONG, 6 SEPT – Empat orang Mualaf yang memerlukan bantuan di kawasan pedalaman Daerah Tutong telah menerima bantuan pada majlis penyerahan yang diungkayahkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dan Unit Dakwah Daerah Tutong.

Dua daripada penerima berkenaan, Awang Muhammad Amlee bin Abdullah dan Awang Muhammad Jofri bin Abdullah menerima bantuan enjin penjana elektrik, manakala itu, Haji Muhammad Zariman bin Abdullah Tong menerima bantuan tangki air dan Dayang Roszainah Atiqah binti Abdul Rahman @ Pangan menerima bantuan bahan binaan.

Kesemua bantuan diserahkan di kediaman masing-masing di mana penyerahan disempurnakan oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku ketua rombongan.

Bantuan berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan mutu kehidupan dan keselesaan hidup para mualaf yang mana ia merupakan salah satu metode dakwah dan pemedulian PDI kepada saudara-saudara baharu di negara ini.

Di samping itu, ia juga untuk memeduli dan memantau dari aspek perkembangan kehidupan serta kebajikan asnaf fakir miskin khususnya dalam kalangan mualaf seperti keperluan asasi atau bantuan-bantuan yang lain supaya para mereka akan dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Turut hadir semasa acara penyerahan berkenaan ialah Pemangku Pegawai Ugama Kanan PDI, Hajah Zunainah binti Haji Gunong; Pemangku Penghulu Mukim Rambai, Awang Mohammad Dahlan bin Kaslan; Pemangku Ketua Kampung Merimbun/Kuala Ungar, Awang Sani bin Nangkat; dan Ketua Kampung Long Mayan/Kampung Bukit, Awang Muhd Eddy Suffian bin Abdullah.

Haji Muhammad Zariman bin Abdullah Tong, salah seorang daripada empat orang mualaf, menerima bantuan tangki air yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam majlis penyerahan bantuan kepada mualaf di pedalaman Daerah Tutong, kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
Haji Abdul Rajid menyampaikan bantuan enjin penjana elektrik kepada salah seorang mualaf pada majlis penyerahan kelmarin. – Gambar oleh Rafi Rosli
Rombongan PDI semasa mengadakan kunjungan ke kediaman mualaf di kawasan pedalaman Daerah Tutong. – Gambar oleh Rafi Rosli