Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Empat produk kosmetik dicemari bahan terlarang

Oleh Sim Y. H. & Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Orang ramai disarankan untuk tidak menggunakan empat produk kosmetik yang telah dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan produk kosmetik yang dicemari itu ialah SCI Beauty Night Cream Pelicin daripada pengilang PT Berlian Kosmetika, Indonesia yang didapati dicemari dengan tretinoin dan hydroquinone.

Tiga lagi produk adalah edaran Karisma Empayar Sdn Bhd, Kelantan iaitu Karisma Cosmetic Set Jeragat mengandungi Karisma Aqua Bird Nest yang dicemari dengan tretinoin, Karisma Brightening Day Cream dan Karisma Golden Tumeric Cream dicemari merkuri.

Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Tretinoin dan hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

Penggunaan tretinoin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Sementara itu, penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Merkuri pula merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Produk Karisma Cosmetic Set Jeragat yang dicemari bahan terlarang. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
SCI Beauty Night Cream Pelicin. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
Karisma Aqua Bird Nest. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
Karisma Brightening Day Cream. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
Karisma Golden Tumeric Cream. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan