Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Guardian Brunei secara rasminya telah memulakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA) dengan majlis pelancaran di Pusat YASKA, Kampung Kiarong, hari ini.
Projek CSR tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kerjasama yang dikenali sebagai Guardian Cares bersama-sama dengan Guardian lain di rantau Asia Tenggara untuk menyumbangkan sebanyak 40 juta penjagaan mandian kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Ketua Guardian Brunei, Jennifer Yang yang menyampaikan ucapan sebelum aktiviti dimulakan. Hadir sama ialah Naib Pengerusi YASKA, Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen.
Jennifer Yang berkata, “Di Guardian kami percaya bahawa setiap orang berhak untuk merasa bersih dan sihat yang merupakan hak asasi manusia dan tidak sepatutnya menjadi suatu kemewahan atau keistimewaan.
“Selain itu, kami di Guardian percaya bahawa kami harus memberi kembali kepada komuniti dan menyokong mereka yang telah bersama kami selama 32 tahun yang sudah,” jelasnya lagi.
Dalam merasmikan kerjasama itu, Guardian Brunei mengadakan kutipan derma yang terdiri daripada cucian badan Guardian kepada kanak-kanak YASKA.
Majlis diisikan dengan beberapa siri aktiviti termasuklah mengajar kanak-kanak tentang penjagaan asas kebersihan, sesi pop kuiz dan aktiviti mewarna.
Bagi menyokong inisiatif yang diadakan oleh Guardian Brunei, orang ramai boleh membeli pencuci badan milik Guardian bagi setiap liter yang dibeli, 10 sen akan disumbangkan kepada YASKA.
Sebagai alternatif, orang ramai boleh membeli patung beruang penjagaan Guardian edisi terhad dan 100 peratus daripada keuntungannya akan disalurkan kepada badan amal berkenaan.