Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Guardiola merendahkan cita-cita Foden

LONDON, 27 SEPT – Pep Guardiola berkata kelmarin bahawa ia adalah kesilapan besar untuk memikirkan mengenai piala-piala pada awal musim, selepas Phil Foden yang bersemangat menyatakan bahawa Manchester City menyasarkan empat kejuaraan yang unik.

City melengkapkan treble bersejarah musim lalu, memenangi Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Pemain sayap England, Foden, 23, berkata kelab itu sedang mengejar treble atau mungkin quadraple dengan menambah Piala Liga.

City telah memulakan musim dengan prestasi cemerlang, memenangi kesemua enam perlawanan untuk mendahului Liga Perdana dan melancarkan pertahanan Liga Juara-Juara mereka dengan bergaya.

Tetapi Guardiola cuba untuk mengekang hasrat pemainnya ketika dia bersedia menghadapi perjalanan sukar ke Newcastle dalam pusingan ketiga Piala Liga, esok.

Aksi Phil Foden (kanan) semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di stadium Etihad di Manchester, England pada 23 September. – AP

Pengurus Catalan itu ditanya pada sidang akhbar pra-perlawanan mengenai kenyataan bersemangat Foden.

“Phil masih muda,” katanya. “Dia akan faham seiring dengan masa. Seronok mempunyai hasrat seperti itu tetapi saya sentiasa katakan kepada pemain-pemain ‘hasrat adalah perlawanan seterusnya’.

“Jadi mungkin pada April, Mei jika awda masih dalam semua pertandingan, awda bo-leh mula memikirkannya tetapi sekarang pada penghujung September untuk memikirkan tentang kejuaraan adalah satu kesilapan besar.

“Tetapi jika dia percaya itu, saya tidak akan menjadi orang yang membiarkannya berfikir sebaliknya,” tambahnya.

Guardiola telah memberi petanda bahawa beliau mungkin akan membuat perubahan besar-besaran untuk perlawanan Newcastle, dengan kecederaan yang memberi kesan yang teruk.

Tetapi bos Newcastle, Eddie Howe, yang sendiri tanpa Joe Willock, Joelinton dan Harvey Barnes, enggan terpedaya oleh pengurus City itu. – AFP