KUALA LUMPUR, 8 SEPT – “Tolak tepi jumlah jaringan, skuad Harimau Muda perlu menang dalam perlawanan seterusnya.”
Itu permintaan penyerang skuad bola sepak Harimau Muda, Fergus Tierney menjelang aksi kedua pusingan Kelayakan Piala Asia B23 2024 di Thailand menentang Filipina, esok.
Menurut beliau, bukan bilangan jaringan yang menjadi keutamaan skuad kendalian E Elavarasan itu, sebaliknya keputusan membawa pulang tiga mata penuh sekali lagi pada saingan berkenaan.
“Sekarang, kami sedang berlatih untuk menentang Filipina dan akan cuba dapatkan tiga mata penuh.
“Saya tak fikir sangat tentang berapa banyak akan kita jaringkan tapi saya fikir untuk menang.
“Satu kosong atau lima kosong bagi saya tetap sama dan saya percaya dengan pasukan ini,” katanya menerusi audio dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media, hari ini.
Rabu lepas, skuad B23 Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 pada aksi pertama pusingan kelayakan itu.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Filipina seterusnya akan mengharungi aksi terakhir berdepan tuan rumah Thailand pada 12 September di Stadium Chonburi.
Hanya juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B23 2024.
Malaysia layak ke Piala Asia B23 untuk kali pertama pada 2018 di China dan berjaya melangkah ke suku akhir sebelum tewas di peringkat kumpulan pada edisi 2022 yang berlangsung di Uzbekistan. – Bernama