Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hasil kerja terperinci mendiang Jein bakal dilelong

DALLAS – Daripada model awal kapal angkasa induk makhluk asing ikonik dalam Close Encounters of the Third Kind hingga kostum lengkap Stormtrooper dalam Star Wars, bidaan dibuka baru-baru ini untuk beribu-ribu barang yang dikumpulkan oleh pembuat model Hollywood, Greg Jein sepanjang hayatnya, termasuk banyak yang beliau cipta semasa kerjayanya selama hampir setengah abad.

Koleksi yang dikumpulkan oleh Jein, yang meninggal dunia tahun lalu pada usia 76 tahun, akan dilelong oleh Heritage Auctions bulan depan di Dallas. Jein, yang mempunyai kerjaya pembuatan model mini yang dicalonkan untuk Oscar dan Emmy, juga merupakan pengumpul kostum, prop, skrip, karya seni, gambar dan model-model daripada rancangan yang digemarinya.

“Beliau menghabiskan seluruh hidupnya dalam industri filem pada zaman di mana kesan khas dan model-model adalah cara keajaiban berlaku,” kata Joshua Benesh, Ketua Pegawai Strategi Heritage Auctions. “Ia adalah cara kapal angkasa mengembara melalui angkasa lepas. Ia adalah cara makhluk asing datang dan mengunjungi Bumi. Ia adalah cara malapetaka dan bencana digambarkan.”

Jein, yang dibesarkan di Los Angeles, memulakan kerjayanya pada pertengahan 1970an, dan selama beberapa dekad bekerja dalam filem termasuk The Dark Knight Rises, The Hunt for Red October dan Avatar. Sebagai salah seorang peminat Star Trek dari awal, beliau kemudiannya bekerja untuk francais itu.

Jein masih awal dalam kerjayanya apabila beliau mengetuai pasukan yang mencipta kapal angkasa induk untuk filem tahun 1977 arahan Steven Spielberg, Close Encounters of the Third Kind. Model yang muncul dalam filem itu – lebih daripada 1.5 meter panjang tetapi kelihatan besar, kini menjadi sebahagian daripada koleksi di Muzium Udara dan Angkasa Negara Smithsonian. Tetapi model awal yang kecil, iaitu kira-kira 12 sentimeter panjang, adalah antara ciptaan Jein yang akan ditawarkan pada lelongan itu.

Benesh bercakap dengan wartawan tentang hasil kerja dan koleksi Jein di Irving, Texas. – Gambar AP
Antara prop daripada rancangan televisyen tahun 1960an, Batman yang dipamerkan di Heritage Auctions di Irving, Texas pada 30 Ogos. – Gambar AP
Topi keledar prop dari filem tahun 1984, 2010: The Year We Make Contact, dipamerkan di Heritage Auctions di Irving, Texas baru-baru ini. – Gambar AP
Kostum Stormtrooper dari filem tahun 1977, Star Wars, Episode IV, A New Hope. – Gambar AP

“Ia sama-sama sangat terperinci dan sangat ringkas,” kata Benesh. “Ia mempunyai kualiti yang tidak formal tetapi apabila awda melihatnya, awda tahu dengan tepat apakah objek itu.”

Ciptaan-ciptaan lain dari kerjaya Jein yang akan dilelong termasuk kapal angkasa kecil yang hancur dari filem tahun 1997, Starship Troopers dan sebuah pondok kecil, kapal terbang dan surat khabar dari komedi perang Spielberg tahun 1979 bertajuk 1941.

Turut ditawarkan ialah sejumlah besar barangan yang dikumpulkan oleh Jein daripada rancangan televisyen Batman pada tahun 1960an dan francais Star Trek serta Star Wars.

Memorabilia Batman termasuk Batarang, tali pinggang utiliti dan radio Bat. Terdapat phaser, alat komunikasi dan tricorder daripada Star Trek: The Original Series dari tahun 1960an, selain banyak kostum, termasuk jubah pakaian formal yang dipakai oleh William Shatner sebagai Kapten Kirk. Jein juga memiliki lut Vulcan yang dimainkan oleh Leonard Nimoy sebagai Mr Spock.

Kemudian, terdapat miniatur Starfighter X-wing Red Leader lengkap dengan juruterbang dan bahagian atas unit R2 yang digunakan dalam filem tahun 1977, Star Wars: Episode IV – A New Hope.

Lou Zutavern, rakan lama Jein dan penyelia kedai, berkata Jein mempunyai minat mendalam terhadap sejarah Hollywood dan suka mengumpul barang.

“Beliau suka mencari dan melihat sesuatu serta berdagang,” kata Zutavern. “Ia merupakan sebahagian daripada keseronokan baginya tetapi beliau juga benar-benar mahu memastikan barangan itu tidak dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah.”

Walaupun sebagai seorang kanak-kanak, Jein bukan sahaja seorang pengumpul, tetapi juga seorang pembuat model yang teliti, kata sepupunya, Jerry Chang.

Jein mengumpul kad besbol, buku komik dan mainan, membeli satu mainan untuk dimainkan dan satu lagi untuk disimpan, kata Chang.

Ketika Jein berumur kira-kira 10 tahun, beliau mengejutkan Chang dan adik Chang selepas melawat Disneyland dengan mencipta replika terperinci taman tema itu di bilik tidurnya.

Jein tamat pengajian dari California State University, Los Angeles pada tahun 1967 dengan ijazah sarjana muda dalam bidang seni. Beliau kemudian mengambil kursus peringkat sarjana dan akhirnya memulakan kerjayanya di Hollywood.

Chang berkata bahawa menyusun koleksi sepupunya selepas kematian beliau adalah ‘seperti mencari harta karun’.

“Awda akan memindahkan satu set buku dan tiba-tiba awda akan menemui sesuatu dan awda akan berkata: Wah, ini kelihatan agak familiar,” kata Chang.

Chang berkata Jein sangat mencintai kerjanya dan juga mempunyai minat untuk mempelajari pelbagai topik. Selepas Jein meninggal dunia, sepupunya mendapati bahawa koleksi buku beliau merangkumi pelbagai topik daripada memasak hingga tentera.

“Beliau menjalani kehidupan yang diinginkan dan beliau menikmatinya,” kata Chang. – AP