Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hotel kena kompaun kerana saliran kumbahan

Oleh Daniel Lim –

BELAIT, 25 SEPT – Sebuah hotel di Kuala Belait telah dikenakan kompaun sebanyak $1,000 setelah didapati memasang paip saliran kumbahan tidak betul yang mengalir ke saliran awam, sehingga mencemarkan premis awam di Jalan Pretty, Kuala Belait.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) mengeluarkan kompaun berkenaan pada 23 September lalu di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 2021 Penggal 12 (1) (c).

Hotel tersebut diberikan tempoh tujuh hari untuk membayar denda dan jika gagal boleh dihadapkan ke mahkamah.

Sekiranya didapati bersalah, hotel tersebut boleh dijatuhkan denda $1,000 dan tidak melebihi $3,000 untuk kesalahan pertama dan denda $3,000, penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sehubungan itu, orang awam serta pemilik-pemilik syarikat diingatkan untuk mengekalkan kebersihan persekitaran dengan membuang sampah ke tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Gambar menunjukkan paip saliran kumbahan yang dipasang dengan tidak betul. – Gambar serahan JBKBS