Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang erat serta mesra di mana hubungan itu kekal membawa manfaat kepada negara dan penduduk kedua-dua buah negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam ucapannya pada Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-74 yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan isteri, Pengiran Datin Hajah Noor Yashimah binti Pengiran Anak Haji Hashim serta perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan jemputan khas.
TYT Xiao Jianguo dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa pada 2022, perdagangan dua hala antara Brunei dan China telah mencatatkan rekod yang tinggi iaitu AS$3 bilion, peningkatan lebih 200 kali ganda jika dibandingkan kepada 1991.
Dengan pengurangan kawalan pandemik dan bermulanya penerbangan terus, kerjasama dan pertukaran dua hala juga menjadi semakin kerap dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, pertahanan, media dan penduduk.
Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Xiao Jianguo menyempurnakan perasmian dokumentari bertajuk Eternal Friendship, yang mengisahkan sejarah persahabatan antara Brunei dan China.
Majlis kemudian menyaksikan pemotongan kek sempena Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-74 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato dan TYT Xiao Jianguo.