Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Indonesia sekat urus niaga di media sosial

JAKARTA, 27 SEPT – Indonesia telah mengharamkan urus niaga barangan di platform media sosial dalam peraturan terbaharu, menurut menteri perdagangan hari ini, ketika Jakarta berhasrat untuk mengekang jualan langsung melalui platform utama yang dikatakan merugikan berjuta-juta peniagaan kecil.

Gesaan semakin bertambah sejak beberapa bulan kebelakangan untuk peraturan yang mengawal media sosial dan e-dagang, dengan penjual luar talian melihat mata pencarian mereka terancam oleh penjualan produk yang lebih murah di Kedai TikTok dan platform lainnya.

“Peraturan perdagangan ini telah dikuatkuasakan (sejak kelmarin),” kata Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan semasa sidang media di ibu kota, Jakarta.

Dia berkata platform perdagangan sosial mempunyai masa satu minggu untuk mematuhi peraturan baharu itu.

“Mana-mana kerajaan akan melindungi perusahaan kecil tempatan,” katanya, dan memberitahu peraturan itu diluluskan bagi memastikan ‘kesamaan dalam persaingan perniagaan’.

Seorang kakitangan pengeluar kecil kasut menunjukkan produk baharu mereka yang dimuat naik di media sosial di Bogor, Jawa Barat. Indonesia telah mengharamkan urus niaga barangan di platform media sosial dalam peraturan terbaharu. – AFP

Peraturan itu bermakna firma media sosial tidak akan dapat membuat urus niaga secara langsung namun mereka masih dibolehkan untuk mempromosikan produk mereka.

“Perdagangan sosial boleh membuat iklan seperti di televisyen, tetapi ia mestilah tidak membuat sebarang transaksi. Mereka tidak boleh membuka kedai, tidak boleh menjualnya secara langsung,” katanya, tanpa menyebut nama TikTok.

Undang-undang di negara itu tidak meliputi urus niaga langsung melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook atau Instagram sebelum peraturan baharu itu.

Peraturan itu memberikan satu lagi halangan buat TikTok, yang telah menghadapi pengawasan ketat di Amerika Syarikat dan negara-negara lain dalam beberapa bulan kebelakangan mengenai keselamatan data pengguna dan hubungan syarikat itu dengan Beijing.

“Negara-negara lain mengharamkannya, kami tidak, (Kami) mengawal selia,” kata Hasan.

Indonesia merupakan salah sebuah pasaran terbesar dunia bagi Kedai TikTok dan merupakan yang pertama untuk menguji aplikasi e-dangang. – AFP