Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Inflasi teras Singapura menurun pada Ogos

SINGAPURA, 25 SEPT – Inflasi teras Singapura, menurun kepada 3.4 peratus pada asas tahun ke tahun pada Ogos, daripada 3.8 peratus pada bulan Julai.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) berkata, penurunan daripada 3.8 peratus pada Julai adalah disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan, makanan dan runcit serta barangan lain.

MAS, bank pusat, memantau inflasi teras yang mengecualikan komponen ‘penginapan’ dan ‘pengangkutan persendirian’ kerana kedua-duanya cenderung dipengaruhi dengan ketara oleh dasar pentadbiran bahagian bekalan dan tidak menentu.

Sementara itu, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP)-Semua Barangan, turun kepada 4.0 peratus pada Ogos, daripada 4.1 peratus pada Julai.

“Itu disebabkan oleh penurunan dalam inflasi teras dan penginapan, yang lebih daripada mengimbangi peningkatan inflasi pengangkutan persendirian,” menurut kenyataan itu.

Pada asas bulanan, IHP teras meningkat 0.1 peratus, disebabkan kos makanan dan perkhidmatan yang lebih tinggi manakala IHP-Semua Barangan, menambah 0.9 peratus apabila kos penginapan dan pengangkutan persendirian meningkat.

Mengenai prospek, MAS dan MTI berkata geseran rantaian bekalan global telah berkurangan dan harga komoditi makanan masih kekal di bawah paras tahun lalu. – Bernama

Gambar Freepik