Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Iran berjaya lancar satelit imej ke orbit

DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 27 SEPT – Iran hari ini mendakwa mereka telah berjaya melancarkan satelit imej ke angkasa, langkah yang boleh meningkatkan ketegangan dengan negara-negara Barat yang bimbang teknologi angkasa lepasnya boleh digunakan untuk membangun senjata nuklear.

Menteri Komunikasi Iran, Isa Zarepour, mengatakan satelit Noor-3 telah berada di orbit 450 kilometer atas permukaan bumi, lapor agensi berita IRNA yang dikendalikan kerajaan. Tidak jelas bila pelancaran itu dilakukan.

Tiada pengakuan segera daripada pihak pegawai Barat mengenai pelancaran atau satelit yang telah diterbangkan ke orbit. Tentera Amerika Syarikat (AS) tidak segera memberikan respons terhadap permintaan untuk sebarang komen. Iran telah mengalami siri kegagalan pelancaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Zarepour berkata, bahagian aeroangkasa Revolutionary Guard paramilitari Iran, yang berjaya melancarkan satelit sebelum itu, mengendalikan sebahagian besar pelancaran terbaharu itu. Pihak berkuasa tidak segera mengeluarkan imej pelancaran itu.

Pengawal mengendalikan sendiri program angkasa lepas dan infrastruktur ketenteraan yang sejajar dengan angkatan bersenjata Iran dan hanya patuh kepada Ayatollah Ali Khamenei.

Mereka melancarkan satelit pertama ke angkasa pada April 2020. Tetapi ketua Komando Angkasa AS kemudian berkata satelit itu tidak akan memberikan informasi yang penting.

Sekatan Barat menghalang Iran daripada mengimport teknologi pengintip canggih.

AS mendakwa pelancaran satelit Iran menentang resolusi Majlis Keselamatan PBB dan telah menggesa Tehran, untuk tidak melakukan sebarang aktiviti berkaitan peluru berpandu balistik yang mampu menghantar senjata nuklear.

Penilaian ancaman 2022 komuniti perisikan AS mendakwa pembangunan kenderaan pelancar satelit ‘memendekkan masa’ untuk Iran membangunkan peluru berpandu balistik antara benua kerana ia menggunakan teknologi serupa. – AP

Gambar AP