Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Iran tuntut Sweden ambil tindakan

TEHRAN, 24 SEPT – Iran telah menuntut Sweden mengambil tindakan berhubung kes pembakaran Al-Quran sebelum kedua-dua negara boleh bertukar duta sekali lagi, dan pembebasan seorang warga Iran yang dipenjarakan, kata kementerian luar negeri hari ini.

Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian membincangkan isu Al-Quran dengan rakan sejawatannya dari Sweden, Tobias Billstrom di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kata kementerian luar.

“Mengenai pertukaran duta, kami sedang menunggu tindakan yang baik dalam isu Al-Quran di Sweden,” kata utusan tertinggi Iran kepada Billstrom di New York, menurut kementerian Iran dalam satu kenyataan.

Beberapa siri pembakaran awam kitab suci Islam telah berlaku di Sweden. Stockholm telah mengutuk perbuatan tersebut tetapi berkata ia tidak boleh menghentikan tindakan yang dilindungi di bawah undang-undang kebebasan bersuara.

Iran mengumumkan pada Julai ia tidak akan membenarkan duta Sweden yang baharu masuk ke negara itu selepas misi duta terdahulu tamat.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi beberapa hari lalu mengangkat Al-Quran di pentas PBB dan menyatakan bahawa ‘api ketidakhormatan tidak akan mengatasi kebenaran Ilahi’, serta mengutuk ‘Islamofobia dan apartheid budaya’ di Barat.

Amir-Abdollahian memberitahu rakan sejawatannya dari Sweden bahawa ‘mempertahankan nilai-nilai Sweden dengan mengabaikan nilai dua bilion umat Islam di dunia adalah tidak boleh diterima’.

Beliau juga menggesa Stockholm membebaskan Hamid Noury, seorang warga Iran yang ditangkap pada November 2019 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan atas hukuman mati beramai-ramai terhadap banduan yang diarahkan oleh Tehran pada 1988.

“Kami mengharapkan kerajaan Sweden akan membuat keputusan yang bijak dan berani dalam peringkat rayuan dan membebaskan Noury,” kata menteri itu sambil menambah bahawa ‘kami bersedia untuk kerjasama yang positif dan membina dalam pelbagai bidang’. – AFP

Ebrahim Raisi mengangkat tangan semasa beliau selesai berucap pada sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB, baru-baru ini. – AP