Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Isu keselamatan industri pembinaan membimbangkan

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Industri pembinaan kekal sebagai salah satu kebimbangan keselamatan disebabkan jumlah kecederaan dan kematian di tempat kerja yang tinggi di tapak pembinaan.

Sejak 2013, sebanyak 44 kematian di tempat kerja direkodkan dalam sektor pembinaan iaitu 61 peratus daripada jumlah kematian di tempat kerja yang direkodkan di negara ini.

“Manakala jumlah kecederaan yang berkaitan di tempat kerja, industri pembinaan mencatatkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan dalam tempoh yang sama.”

Perkara itu ditekankan oleh Pengarah Perancangan Strategik, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Haji Junit bin Haji Zakaria semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Sosialisasi Mengenai Penguatkuasaan Keperluan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Bangunan ABCi, hari ini.

Pada acara itu, pembentangan telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan dan Hal Ehwal Antarabangsa SHENA, Awang Zaharuddin bin Haji Abdul Rahman dan Pegawai Tugas-tugas Khas Gred II, Urus Setia Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Hajah Siti Nurbazilah binti Haji Mohd Noor.

Haji Junit semasa menghadiri acara yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Bangunan ABCi, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Antara yang hadir mendengarkan pembarigaan untuk menangani kebimbangan keselamatan dalam industri pembinaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam usaha memberikan penjelasan mengenai keselamatan di tempat kerja, sepanjang bulan ini SHENA bersama ABCi akan menjalankan siri acara untuk meningkatkan kesedaran dan meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dalam industri pembinaan.

Sesi pemberigaan pertama disasarkan kepada arkitek, jurutera profesional dan wakil kerajaan yang terlibat dengan operasi bangunan dan penyelenggaraan di kementerian dan jabatan masing-masing manakala dua sesi akan menyasarkan kepada kontraktor kelas 4 hingga 6.

Acara-acara pemberigaan tersebut akan memperkenalkan Notifikasi Keselamatan dan Kesihatan bagi Operasi Bangunan/Kerja-kerja Pembinaan Kejuruteraan (BOWEC) SHENA yang akan dimasukkan ke dalam portal Onebiz di bawah permohonan Borang C ABCi serta keperluan bagi pelantikan pegawai atau penyelaras keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, 2009.

Pihak Sekretariat MPEC turut menyampaikan pembentangan mengenai HSE Competency Apprenticeship Programme.

Ini antara lain bertujuan untuk menyokong syarikat-syarikat dalam membangun kemahiran kecekapan pekerja dengan memberikan latihan profesional bersubsidi dalam IOSH Managing Safely dan NEBOSH International General Certificate of Occupational Health and Safety Training yang disediakan oleh pusat latihan berdaftar.

Untuk mengetahui lebih lanjut atau mendaftar bagi acara yang akan datang khusus kepada kontraktor kelas 4 hingga 6 pada 13 dan 20 September, klik butang General Enquiries di www.shena.gov.bn.