Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jangan sakiti hati jiran

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dalam menjaga hubungan silaturahim yang baik dengan jiran tetangga, hendaklah sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah dianjurkan dalam agama Islam.

Antara akhlak yang mulia itu ialah sikap bersopan santun dan berbudi bahasa seperti bertegur sapa, bertanya khabar, menjaga perasaan, saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan menghulurkan bantuan jika diperlukan atau ketika jiran menghadapi kesusahan dan seumpamanya.

“Adapun bantuan yang dihulurkan kepada jiran itu bukan hanya terbatas pada bantuan yang berbentuk kewangan dan material, tapi bantuan itu juga adalah dari segi tenaga, kerjasama dan buah fikiran,” ujar khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjaga Silaturahim Sesama Jiran Tetangga’.

Menurut khatib, bantuan yang dihulurkan itu termasuklah seperti, ketika jiran mengadakan majlis kenduri, kita boleh membantu dengan meminjamkan kawasan rumah, membersihkan kawasan halaman sekitarnya dan seumpamanya.

Begitu juga, sekiranya kita ditimpa musibah seperti berlakunya kematian, kebakaran dan seumpama.

Gambar Canva

“Sesungguhnya amalan itu dapat memupuk sikap berkasih sayang dan budaya hormat-menghormati sesama jiran tetangga,” jelasnya.

Agama Islam, katanya, sangat menitik beratkan silaturahim dan menyeru umatnya untuk sentiasa hidup bersatu padu dan tolong-menolong.

Islam juga melarang permusuhan dan perpecahan sama ada dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat, bernegara termasuk dalam hidup berjiran.

Rasulullah SAW juga ada menyatakan dalam hadisnya, Baginda antara kesempurnaan dalam memperlengkap keimanan dengan menjaga hubungan silaturahim dan memuliakan jiran tetangga.

Dalam konteks berbuat baik dan menjaga hubungan silaturahim sesama jiran tetangga, jelas khatib, jangan sekali-kali menyakiti hati dan perasaan mereka, sama ada dengan tutur bicara mahupun tingkah laku.

Ini termasuk dalam perkara menjaga kebersihan di kawasan tempat tinggal dan kawasan kejiranan, perlu diketahui, tegas khatib, untuk menjaga ketenteraman dan keharmonian berjiran itu, kita hendaklah peka dan mengamalkan sikap bertolak ansur dalam kehidupan berjiran seperti memberi laluan jalan kepada mereka.

Selain itu, tidak membiarkan binatang ternakan dan haiwan peliharaan berkeliaran, apatah lagi memasuki kawasan halaman rumah jiran sehingga membuat kotor dan merosakkan harta benda mereka.

Elakkan berbuat bising atau mengadakan hiburan yang keterlaluan sehingga larut malam yang boleh menyebabkan jiran kita merasa terganggu dan sukar untuk beristirahat.

Orang yang menyakiti jirannya akan mendapat akibat dan balasan yang buruk, antaranya tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada gangguannya.

Untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga, bukan satu perkara yang sukar, ini kerana apa yang penting ialah hendaklah sentiasa mengamalkan budi pekerti dan tingkah laku yang mulia.

Sekiranya semua ini diaplikasikan dan diamalkan dalam kehidupan berjiran, jelas khatib, kita akan dapat mengecap nikmat kehidupan yang harmoni, aman damai, bahagia dan bersatu padu.