Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Jejantas baharu tingkatkan keselamatan pengguna

Oleh Salawati Haji Yahya –

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Dalam usaha untuk menjaga kesejahteraan pelajar dan ibu bapa, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin telah berjaya merealisasikan hasrat beliau untuk membina sebuah jejantas pejalan kaki di Kampung Jangsak sebagai sumbangan kepada masyarakat.

Perasmian pembukaan jejantas pejalan kaki yang diadakan hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan disaksikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin sebagai penaja kos pembinaan jejantas tersebut.

Pembinaan jejantas yang menelan belanja $330,000 itu bermula pada 24 Februari 2023 dan siap sepenuhnya pada 31 Ogos lalu.

Selain pembinaannya juga telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai salah seorang penduduk Kampung Jangsak selama lebih 40 tahun, Yang Dimuliakan Pehin mendapati bahawa pembangunan terkini di sekitar kawasan kampung tersebut dan aliran trafik yang agak tinggi dari Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyebabkan kesesakan lalu lintas setiap hari terutamanya pada waktu sibuk.

Di samping itu, keprihatinan terhadap isu keselamatan telah menjadi kebimbangan, di mana pelajar-pelajar dan ibu bapa dapat dilihat memanjat penghadang untuk melintasi jalan raya.

Dengan adanya jejantas ini, ia akan memberi kemudahan yang selesa dan meningkatkan keselamatan pengguna jejantas.

Terdahulu majlis perasmian jejantas berkenaan, sesi taklimat ringkas mengenai jejantas berkenaan telah disampaikan oleh Konsultan Alvo, Alice Lim dan Doa Selamat perasmian jejantas telah dibacakan oleh Imam Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak, Haji Kamaluddin bin Haji Abdul Rahim.

Hadir sama menyaksikan perasmian jejantas itu, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Ir Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria, dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan serta Pemangku Ketua Kampung Jangsak.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda semasa merasmikan pembukaan jejantas pejalan kaki di Kampung Jangsak, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda ketika menaiki jejantas pejalan kaki yang dirasmikan di Kampung Jangsak kelmarin. – Gambar Muiz Matdani