Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

KACA, YASKA terima sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Bank Baiduri melalui Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI) telah menyampaikan sumbangan berjumlah $2,000 kepada Pusat Kanak-kanak Cacat (KACA) dan Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA), hari ini.

Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin, dan Naib Pengerusi YASKA, Dayang Tsara’Nawwarah binti Abdullah Chen telah menerima sumbangan $1,000 di pusat organisasi masing-masing.

Menurut Bank Baiduri, sepanjang bulan Ramadan lalu, EWI menjalankan kempen bersempena dengan inisiatif tahunan Let’s Give Back This Ramadhan dan selaras dengan nilai teras mereka iaitu keterangkuman dan empati.

Inisiatif berkenaan membolehkan pekerja mencagarkan $5, $10 atau $20 untuk membeli set beli-belah atau alat tulis untuk 50 keluarga kurang berkemampuan yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan.

Pemangku Ketua Kumpulan Sumber Manusia di Bank Baiduri, Chiam Chin Huei menekankan kepentingan memupuk budaya memberi kembali dan menyokong komuniti yang lebih luas dalam organisasi.

Beliau seterusnya menjelaskan, berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif itu, bank berkenaan melaksanakan sumbangan kedua.

“Kami menggalakkan kakitangan kami untuk terus mencari peluang bagi memberikan impak positif, bukan sahaja sebagai pekerja bank, tetapi juga sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin,” tekannya.

Pegawai Perhubungan Pekerja dan Tadbir Urus, Sumber Manusia Kumpulan, Haji Mohammad Yazid bin Haji Abdul Ranni berkata “Untuk menentukan penerima derma ini, tinjauan telah dijalankan di dalam bank.”

Dato Paduka Haji Zainal menerima sumbangan daripada Chiam Chin Huei pada majlis yang berlangsung di KACA. – Gambar serahan Bank Baiduri