Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kampung Buangkok FC bakal berdepan Kasuka Ar-Rawda dan Almerez FC

Oleh Ak Zaki Kasharan – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Pasukan futsal dari Republik Singapura, Kampung Buangkok FC akan meneruskan siri perlawanan antarabangsa dengan mengadakan perlawanan menentang pasukan Kasuka Ar-Rawda dan pasukan Almerez FC.

“Selepas mengadakan perlawanan dengan Pendekar United, sebuah kelab futsal terbaik Republik Indonesia, pertemuan menentang dua pasukan terbaik Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 sudah tentu akan membantu meningkatkan lagi mutu dan pengalaman pasukan Kampung Buangkok FC,” jelas Pengurus Pasukan Kampung Buangkok FC, Luis Lim sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Beliau melahirkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) yang memberikan peluang untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meningkatkan mutu permainan di samping menjadi tanda aras menjalin hubungan baik bersama pasukan berkenaan.

Pasukan Kampung Buangkok yang ditubuhkan pada tahun 2020, merupakan salah sebuah pasukan futsal terbaik di Republik Singapura yang juga dibarisi bintang futsal dari Indonesia, Bambang Bayu Saptaji (BBS) yang merupakan pemain kebangsaan dan bekas pemain pasukan Pendekar United.

Pasukan Kampung Buangkok akan bertemu dengan pendahulu BFL 2023, pasukan Kasuka Ar-Rawda pada 9 September diikuti pasukan Almerez FC pada hari berikutnya.

Kedua-dua perlawanan akan bermula 8 malam, di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyaksikan perlawanan berkenaan. Bagaimanapun kemasukan penonton adalah terhad.

Kampung Buangkok FC selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.