BERLIN, 24 SEPT – Harry Kane kelmarin mengatasi rekod pertama yang dibuat oleh penyerang legenda Jerman, Gerd Mueller apabila dia menjaringkan hatrik dalam kemenangan 7-0 Bayern Munich ke atas Bochum yang membawa juara itu kembali ke puncak Bundesliga.
Kane merembat masuk gol kedua Bayern hanya dalam 13 minit pertama, sebelum menjaringkan penalti pada separuh masa kedua. Dia menambah gol ketiga ketika perlawanan berbaki dua minit apabila dia menyambut hantaran lintang rendah dari Leroy Sane.
Dengan enam gol dalam lima perlawanan, kapten England itu kini mempunyai lebih banyak gol dalam lima perlawanan liga pertamanya berbanding pemain lain dalam sejarah Bayern, menewaskan Mueller (1965), Miroslav Klose (2007) dan Mario Mandzukic (2012) yang semuanya menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan pertama mereka untuk kelab itu.
“Saya gembira untuk memainkan peranan dan saya berharap akan ada banyak lagi jaringan yang akan datang. Setakat ini, semuanya berjalan lancar,” kata Kane.
Kane berkata dia akan meraikan kemenangan itu dengan lawatan pertamanya ke pesta di Munich.
“Apabila saya datang ke sini, saya berkata saya ingin mengenali budaya dan bandar ini – apakah tempat yang lebih baik daripada itu?,” tambahnya.
Bayern kini telah menewaskan Bochum 7-0 dalam tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka.
Pengurus Bayern, Thomas Tuchel memuji kemenangan pasukannya yang sangat berbaloi dan berkata ia adalah “hari yang hebat di pejabat.”
Eric Maxim Choupo-Moting, Matthijs de Ligt, Leroy Sane dan Mathys Tel – sekali lagi dari bangku simpanan – turut mencatatkan gol. – AFP