Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

‘Keluarkan ikan baung ekor merah dari sungai’

JELEBU, 7 SEPT – Pemancing disarankan membantu mengeluarkan ikan baung ekor merah dari perairan sungai bagi menyelamatkan ikan-ikan asli tempatan, kata Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Dr Siti Norita Mohamad.

Beliau berkata usaha itu penting kerana makanan ikan baung ekor merah ialah 50 peratus daripada ikan asli tempatan serta udang galah.

“Apabila perut ikan ini dibelah, terdapat ikan tempatan di dalam perut ikan ini. Memang kami galakkan pemancing untuk memancing dan keluarkan ikan ini … jangan lepaskan ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita pada Hari Terbuka IPP Glami Lemi dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui di sini hari ini.

Siti Norita berkata sungai di Perak dan Selangor antara yang serius menghadapi masalah dengan kehadiran ikan baung ekor merah ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata pihaknya dan IPP Glami Lemi turut mengadakan program bagi memburu spesies ikan berkenaan di Sungai Triang. – Bernama

Ikan jenis Rasbora-Scissortail, antara ikan hiasan yang dipamerkan sempena Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi dan Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui kelmarin. – Bernama