Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kerjasama kukuhkan produk 1K1P ke pasaran luas

Oleh Sim Y. H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Program keusahawanan di bawah Satu Kampung Satu Produk (1K1P) terus diperkukuhkan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Ghanim International Corporation Sdn Bhd, hari ini.

Majlis penandatanganan berlangsung di Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Taman Perindustrian Salambigar di mana hadir untuk menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga Pengerusi Ghanim International Corporation, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, para pegawai kanan dan kakitangan KHEDN, pegawai dan kakitangan Ghanim serta usahawan-usahawan 1K1P.

Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim, Dr Nur Rahman dalam kata alu-aluannya menyatakan Ghanim terus memainkan peranan aktif dalam membangunkan, memasarkan dan mempromosikan produk-produk di bawah jenama bruneihalalfoods sebagai sebahagian aspirasinya untuk menyumbang kepada mempelbagaikan ekonomi menerusi eksport termasuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau menyatakan pihaknya komited untuk bekerjasama dengan KHEDN dan pengusaha-pengusaha 1K1P untuk menghasilkan produk-produk yang memenuhi standard dan
permintaan dalam negara serta juga antarabangsa.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menyaksikan majlis penandatanganan tersebut. – Gambar oleh Sim Y. H.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin, Awang Abdul Walid dan Dr Nur Rahman bergambar ramai selepas penandatanganan MoU di antara KHEDN dan Ghanim, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

Majlis seterusnya menyaksikan penandatanganan MoU dengan KHEDN diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dan Ghanim diwakili oleh Dr Nur Rahman.

MoU itu bermatlamat untuk memperkukuhkan program keusahawanan di bawah 1K1P supaya lebih mampan dan seterusnya menghasilkan produk yang berkualiti serta berimpak tinggi bagi menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menerusi MoU itu, usahawan-usahawan 1K1P akan mendapat beberapa manfaat termasuk dalam khidmat kepakaran dan nasihat daripada pihak Ghanim bagi membangunkan produk-produk 1K1P termasuklah akses kepada kemudahan dapur yang moden dan lengkap di bawah Brunei Food Industry Development (BFID) untuk penghasilan produk 1K1P berskala besar.

Selain itu, pembekalan bahan-bahan mentah yang diperlukan dengan harga lebih kompetitif daripada pasaran, peluang untuk memasarkan produk-produk 1K1P secara lebih meluas di peringkat domestik dan antarabangsa serta latihan dan bimbingan daripada segi pembungkusan, jualan dan pemasaran, pengkosan dan pematuhan piawaian (standard).

Manakala itu, KHEDN berperanan dalam mengesyorkan dan membekalkan produk-produk 1K1P yang berpotensi, bernilai tinggi dan berkualiti berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak Ghanim dalam kerjasama berkenaan.

Sehingga kini, dua buah syarikat iaitu Aura Sribunda & Partners mewakili Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor dan Ayunda Enterprise mewakili MPK Batu Apoi telah berjaya membuat uji cuba pengeluaran di BFID.

Usaha itu akan diteruskan bagi meningkatkan lagi pengeluaran produk masing-masing daripada segi produktiviti dan kualiti supaya mampu memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan dan seterusnya menembusi pasaran luar negara.