Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kerjasama uruskan hutan bandar, paya laut di labuan

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Perbadanan Labuan memeterai memorandum persefahaman (MoU) di FRIM, Kepong pada Selasa (26 Sept) untuk mewujudkan kerjasama dalam pengurusan hutan bandar dan hutan paya laut di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut kenyataan bersama FRIM dan Perbadanan Labuan, kerjasama itu menjadikan Labuan sebagai sebuah wilayah persekutuan yang hijau, selamat, serta bestari dan dapat memanfaatkan kepakaran FRIM dalam aspek pemuliharaan kawasan hutan paya laut yang berpotensi dijadikan kawasan tarikan ekopelancongan.

“Dengan kerjasama ini, FRIM akan memberikan khidmat kepakaran teknikal dalam aspek pengurusan hutan bandar dan aborikultur termasuk penyelenggaraan pokok-pokok ameniti, landskap dan pokok teduhan pinggiran jalan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan media itu turut memaklumkan Perbadanan Labuan akan menambah baik aspek pengurusan dan penyelenggaraan Taman Botani Labuan iaitu antara taman botani yang tertua di Malaysia, selain menempatkan koleksi pelbagai tumbuh-tumbuhan, ia juga taman rekreasi bandaran dikunjungi pelawat.

Pada majlis itu, Perbadanan Labuan diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rithuan Mohd Ismail manakala FRIM diwakili oleh Ketua Pengarahnya Dr Ismail Parlan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Norwati Muhammad, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM Dr Wan Mohd Shukri Wan Ahmad, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM Ahmad Azaruddin Mohd Noor, Pengarah Pejabat Penasihat Undang-Undang Perbadanan Labuan Suhaimi Sainan dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbadanan Labuan, Gilbert Chin. – Bernama

Gambar Freepik