Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Komited majukan perniagaan tempatan

Oleh Sim Y. H. – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) memainkan peranan penting dalam ekosistem perniagaan tempatan khususnya dalam menyokong inisiatif-inisiatif sektor swasta untuk memajukan kerjasama perdagangan dan ekonomi di Brunei.

Sehubungan itu, NCCIBD telah mengambil langkah signifikan ke arah mengembangkan akses pasaran dengan memeterai memorandum persefahaman dengan China Council for Promotion of International Trade (CCPIT) Hainan Provincial Committee, baru-baru ini.

Usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan melalui pelbagai platform penglibatan antarabangsa seperti BIMP-EAGA dan ASEAN+3 bagi membuka jalan untuk perniagaan tempatan memperoleh faedah yang besar, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pejabat dan Pelancaran Laman Sesawang NCCIBD yang berlangsung di Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

Mengenali potensi besar NCCIBD, Yang Berhormat Dato percaya kerjasama, komitmen dan penglibatan pihak yang berkepentingan dari kedua-dua sektor awam dan swasta adalah amat mustahak dalam merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi negara.

Dalam hubungan itu, beliau mengambil maklum sokongan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam menubuhkan pejabat baharu NCCIBD di Bangunan Rekaan dan Teknologi.

Langkah strategik itu, ulasnya, bertujuan untuk mempromosi perpaduan di mana ia akan bertindak sebagai hab pusat bagi perkembangan kolektif antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan perniagaan dan ekonomi tempatan.

Selain itu, Yang Berhormat Dato berkata pelancaran laman sesawang NCCIBD menandakan satu mercu tanda signifikan yang melambangkan penerimaan era digital oleh organisasi berkenaan.

Beliau yakin platform digital berkenaan akan menjadi nadi penggerak yang memudahkan akses kepada maklumat global penting bukan sahaja bagi bakal ahli-ahli NCCIBD tetapi juga entiti perniagaan dan orang ramai.

Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Presiden NCCIBD, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad menyatakan NCCIBD terus teguh dalam komitmennya untuk mengembangkan eksport dan sokongan perdagangan antarabangsa di mana mereka mengiktiraf pasaran global mempunyai potensi yang amat besar bagi perniagaan mereka dan menjadi prerogatifnya untuk menyediakan perniagaan tempatan dengan sumber, pengetahuan serta rangkaian yang diperlukan agar maju di pentas antarabangsa.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menghadiri Majlis Perasmian Pejabat dan Pelancaran Laman Sesawang NCCIBD yang berlangsung di Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa.
Haji Abdul Saman menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.