Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Laos promosi penggunaan EV, kurangkan import minyak

VIENTIANE, 27 SEPT – Kementerian Industri dan Perdagangan Laos membentangkan langkah untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan perbelanjaan untuk mengimport petroleum dan melindungi alam sekitar dengan menggunakan tenaga bersih.

Ia termasuk dasar untuk menggalakkan pembangunan pengeluaran, pembekalan dan penggunaan EV dan bateri EV, dan untuk menggalakkan penyediaan perkhidmatan selepas pembelian dan pembinaan stesen pengecasan di seluruh negara, selain untuk menarik pelabur untuk membina kilang yang terlibat dalam menghasilkan dan memasang EV empat tayar, menurut laporan agensi berita Laos (KPL), hari ini.

Penyelarasan dengan sektor sumber asli dan alam sekitar juga perlu untuk menetapkan langkah-langkah untuk mengendalikan bateri yang telah tamat tempoh bagi mengelak menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar dan masyarakat.

Buavanh Vilavong, Ketua Pengarah Jabatan Industri dan Kraf tangan di bawah Kementerian Industri dan Perdagangan, berkata menggunakan EV di Laos perlu segera dilaksanakan untuk mengurangkan perbelanjaan mengimport petroleum, dan menambah bahawa nilai import bagi produk tersebut di Laos adalah sangat tinggi, menyumbang 20 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan negara itu.

Sementara itu, Laos mempunyai potensi besar untuk penghasilan elektrik, justeru menggalakkan penggunaan EV di seluruh negara adalah arah yang betul untuk memanfaatkan sumber dalaman serta memastikan imbangan perdagangan.

Ketika ini, penggunaan EV di Laos masih berdepan beberapa cabaran seperti kilang penghasilan dan pemasangan EV yang terhad. Selain itu, sistem jalan raya di Laos masih belum memenuhi standard yang sesuai untuk EV, terutama laluan di luar bandar, manakala jumlah stesen pengecasan masih belum memuaskan untuk memenuhi permintaan sebenar. – Xinhua

Gambar bertarikh 15 Februari 2023 menunjukkan sebuah kilang pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China. Kementerian Industri dan Perdagangan Laos membentangkan langkah untuk mempromosikan penggunaan EV bagi mengurangkan perbelanjaan untuk mengimport petroleum.- Xinhua