Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Laungan dikir 12 malam berakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan, Syahmi Hassan, Salawati Haji Yahya & Daniel Lim – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Majlis Dikir 12 Malam Berturut-turut bagi Masjid-masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1445H/2023M yang bermula pada 1 Rabiulawal lalu telah berakhir dengan Majlis Penutup Dikir hari ini.

Di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.

Majlis telah diserikan tazkirah bertajuk ‘Rasulullah Diutus Sebagai Pembawa Rahmatan Lil ‘Alamiin’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.

Majlis diteruskan dengan Dikir Assalamualaika oleh para pegawai dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, diikuti dengan Dikir Khairuman Nandung oleh Pasukan Dikir Lelaki Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA).

ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan isteri hadir bersama tetamu lain pada Majlis Penutup Dikir di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Gambar oleh Muiz Matdani
Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim hadir bersama para jemputan lain pada Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Dato Seri Paduka Haji Sufian bersama tetamu lain pada Majlis Dikir di Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong. – Gambar serahan JPM
Dr Hazri hadir pada Majlis Dikir di Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, Kampung Katimahar, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Antara yang hadir pada Majlis Dikir di Masjid Kampung Mentiri, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

Dikir Bishahrin Udana Laila pula dibawakan oleh Pasukan Dikir Kampung Subok dan Belimbing sebelum disusuli dengan Dikir Al-Hamd Tumbuk Sukung oleh Pasukan Dikir Persatuan Perangkap Kampung Burung Pingai, Berakas.

Manakala itu, Dikir Badat dibawakan oleh Pasukan Dikir Persatuan ZAIDANA Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Tungku, Gadong dan kemudian Dikir Asyaraqal dibawakan oleh Pasukan Dikir Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU.

Dalam pada itu, baru-baru ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan Majlis Dikir Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di Masjid Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Kelmarin, rombongan KHEU pula meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait.

Rombongan diketuai oleh Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Jabatan Pengurusan Pendidik telah mengadakan Majlis Dikir di Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle.

Turut menyemarakkan sambutan adalah rombongan Ketua-ketua Kampung Zon 3 Daerah Brunei dan Muara yang mengadakan Majlis Dikir di Masjid Kampung Mentiri, kelmarin.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim.