Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Majlis keagamaan semarak Maulud Nabi

Oleh Ak Zaki Kasharan – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Pelbagai pihak terus menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah dengan mengadakan majlis keagamaan.

Kementerian Pertahanan mengungkayahkan Majlis Semarak Maulud sempena memperingati Maulidur Rasul 1445 Hijrah yang diadakan secara serentak di kesemua surau garison, pangkalan dan perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) termasuk Masjid Pulau Baru-Baru dengan tumpuan utama di Surau Pengiran Ratna Indera, Perkhemahan Tutong hari ini. Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin. Turut hadir selaku jemputan khas ialah ahli-ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Daniel bin Haji Yaakub yang juga selaku Penghulu Mukim Ukong dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku Ketua Kampung Sengkarai; Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Ahmad Nizam bin Dato Paduka Haji Ismail; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat suci Al-Quran dipimpin oleh Awang Mohd Nur Amin bin Haji Jali dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT). Majlis juga diisikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Sunnah Dihayati, Hidup Diberkati’ yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Kemajuan Syiar Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Fahmi bin Haji Matnoor, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas telah mengadakan majlis penutup dikir di masjid berkenaan, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metusin selaku penaung jawatankuasa takmir masjid berkenaan.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri Majlis Semarak Maulud. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Antara yang hadir ke majlis penutup dikir di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan