Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Republik Persekutuan Jerman dan Negara Brunei Darussalam menikmati hubungan yang sangat baik sejak beberapa dekad lalu.
Kedua-dua buah negara merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai antara satu sama lain dengan berkongsi pandangan terhadap pelbagai bidang pemerintahan termasuklah multilateralisme dan kepentingan perdagangan bebas, antara lainnya.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler menekankan perkara itu dalam ucapannya pada Majlis Resepsi Sambutan Ulang Tahun Penyatuan Negara Jerman yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club di Jerudong, hari ini.
Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Puan Yang Terutama dalam ucapannya turut mengongsikan beberapa projek perniagaan yang dilaksanakan antara kedua-dua buah negara termasuklah Kilang Baja Brunei yang dibina oleh Thyssenkrupp yang mana cukup mendukung strategi diversifikasi kerajaan Brunei.
Pada masa yang sama, beliau turut menyentuh mengenai kehadiran jenama kenderaan Jerman di negara ini sejak berdekad-dekad yang lalu, antaranya Porsche dan BMW.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Jerman.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan isteri serta PYT Gerda Winkler bersama-sama memotong kek bersempena Sambutan Ulang Tahun Penyatuan Jerman.
Seterusnya, PYT Gerda Winkler menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Dato dan isteri.