Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Malaysian Tigress tak gentar jumpa India

HANGZHOU, 28 SEPT – Skuad hoki wanita Malaysia tidak gentar untuk berdepan satu daripada pasukan gergasi Asia, India dalam aksi kedua Kumpulan A pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park, esok.

Jurulatih Malaysia, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata India selaku pemenang pingat perak edisi lepas merupakan sebuah pasukan berpengalaman apabila dibarisi pemain yang sudah membuat 100 hingga 200 penampilan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Mohd Nasihin optimis keyakinan yang diraih anak buahnya selepas membenam Hong Kong 8-0 pada aksi pembukaan Isnin lepas, dapat membantu skuad Malaysian Tigress dari segi mental menjelang pertembungan itu.

Malah beliau mendedahkan Malaysia akan menggunakan pendekatan berbeza, selain menurunkan kapten pasukan Juliani Mohd Din yang direhatkan ketika bertemu Hong Kong, dalam usaha mengekang penguasaan India.

“Kita akan cuba sehabis baik untuk tunjukkan di mana pasukan hoki wanita sekarang berada. Tiada tekanan kepada pemain, kami (jurulatih) hanya mahu mereka berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, Mohd Nasihin berkata kekalahan besar 0-9 pasukan Malaysia di tangan India pada pertemuan terakhir di Piala Asia 2021 di Muscat, Oman tidak boleh dijadikan ukuran kerana melibatkan skuad yang berbeza.

“Masa tu kita ada 12 pemain yang buat debut antarabangsa dan struktur pasukan yang agak berbeza. Kali ini pasukan berbeza, jadi tekanan lebih kepada India dan bukannya kita,” katanya.

Sementara itu, pemain yang sudah membuat 131 penampilan antarabangsa dan menjaringkan satu gol ketika bertemu Hong Kong, Nuraini Abdul Rashid berkata, “India sangat baik, tetapi kita pun mampu beri saingan.” – Bernama

Gambar Freepik