Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Maulud Nabi disambut meriah

Oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan –

TUTONG/BELAIT, 28 SEPT – Selain tumpuan utama di ibu negara, Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah turut diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini.

Di Daerah Tutong, sambutan telah berlangsung di kawasan lapang berhadapan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu khas ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Sebanyak 32 pasukan menyertai perarakan yang terdiri daripada pasukan tetamu khas dan jawatan-kuasa, pasukan beruniform, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, sekolah-sekolah menengah dan agama, jemaah masjid, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta penduduk kampung, persatuan-persatuan dan pihak swasta di daerah ini melibatkan seramai 1,996 orang peserta secara keseluruhannya.

Majlis serupa turut diadakan di Daerah Temburong yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyertai perarakan pada majlis yang berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait. – Gambar oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyertai perarakan di kawasan lapang berhadapan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin. – Gambar oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam perarakan di Daerah Tutong. – Gambar oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan
Persembahan Dikir Marhaban sempena Sambutan Maulud Nabi SAW di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait. – Gambar oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan

Sementara itu, di Daerah Belait, majlis berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Seramai 2,296 peserta terdiri daripada 35 pasukan menyertai majlis peringkat Daerah Belait, yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa, pasukan-pasukan beruniform, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, sekolah-sekolah menengah dan Arab, masjid, surau, balai ibadat, majlis perundingan mukim dan kampung serta persatuan-persatuan di daerah berkenaan.

Sementara itu, Majlis Perhimpunan Wanita sempena sambutan berkenaan berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait yang dihadiri kira-kira 400 orang Muslimah.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Datin Hajah Mahayon binti Haji Mohd Taha, isteri Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Majlis dimulai dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Rohani binti Haji Moksin.

Majlis diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Siti Amal Zakiah binti Haji Mohd Yusof.