Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Morata bantu Atletico atasi Real Madrid

BARCELONA, 25 SEPT – Alvaro Morata menjaringkan dua gol untuk Atletico Madrid ketika mereka memberikan kekalahan pertama Real Madrid musim ini, dengan kemenangan 3-1 dalam perlawanan derbi dalam La Liga, kelmarin.

Barcelona yang meruupakan juara liga, kini menduduki tangga teratas sementara Los Blancos kehilangan rekod 100 peratus kemenangan mereka, dengan Antoine Griezmann turut menjaringkan gol untuk Atletico yang berada di tempat kelima, di stadium Metropolitano yang penuh semangat.

Real Madrid berada di tangga ketiga, satu mata di belakang Barcelona dan Girona yang berada di tempat kedua, selepas mereka gagal menyaingi tahap intensiti Atletico dalam pertembungan yang menarik.

Morata menjaringkan gol dengan tandukan awal dan Griezmann menggandakan pendahuluan Atletico, sebelum Toni Kroos menjaringkan gol untuk Madrid dengan rembatan yang keras sebelum separuh masa.

Bagaimanapun, Morata menanduk masuk bola pada awal separuh masa kedua dan Madrid tidak dapat mencari jalan kembali menentang pasukan Atletico yang bangkit daripada apa yang dilabelkan oleh jurulatih Diego Simeone sebagai paling lemah dalam tempoh pemerintahannya hujung minggu lalu.

“Ia adalah masalah kelemahan pertahanan, yang tidak pernah kami hadapi dalam beberapa perlawanan pertama,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti kepada pemberita.

“Dalam lebih 45 minit mereka mencipta tiga gol, ia bukanlah malam yang baik.

Pasukan tidak kompak, lebih-lebih lagi pada separuh masa pertama, Atletico memanfaatkannya,” tambahnya.

Morata mengetuai barisan dengan baik bagi Atletico dan dihadiahkan dengan dua gol, yang diraikannya dengan meriah. – AFP

Aksi Alvaro Morata (kiri) semasa perlawanan bola sepak La Liga Sepanyol di stadium Metropolitan di Madrid pada 24 September. – AP